Bestnye... Akhirnya selepas 8 tahun bercinta, Putera William dan kekasihnya Kate Middleton mengikat tali pertunangan dan mereka juga dikatakan akan melangsungkan perkahwinan pada tahun depan. Setia betul Kate Middleton ni ye... Harap2 kesetiaan aku pun akan berakhir dengan kisah cinta yang indah sebegini. Kelihatan di jari manis Kate Middleton tersarung cincin berlian permata biru yang pernah dipakai oleh mendiang Puteri Diana dahulu. Seronok melihat kemesraan mereka, semoga mereka bahagia selama-lamanya.
Thursday, December 16, 2010
Putera William & Kate Middleton dah bertunang :)
Friday, December 10, 2010
Rahsia kecantikan orang dulu-dulu... kena rajin je la hehe :)
Wanita silam mengutamakan kecantikan kulit dan rambut. Justeru, mandi lulur sangat digemari. Mungkin kerana mereka kerap berjemur di bendang dan ladang. Kesannya kulit mudah dibakar matahari, menjadi gelap, kering dan bersisik. Lantas mereka rajin menyediakan ramuan mandi lulur, sama ada menggunakan beras tumbuk ataupun rempah-ratus.
Ia bertujuan melembut serta menghaluskan kulit. Biasanya, padi yang baru dituai diasingkan secupak dua, dibuang kulit dan direndam berhari-hari. Airnya mesti diganti dua kali sehari agar tidak busuk. Setelah separuh lembut, ia ditapis dan ditumbuk separuh lumat.
Setiap kali sebelum bersiram, beras lumat yang dicampur perahan limau nipis disapu pada seluruh badan. Apabila separuh kering, baru disental untuk mengeluarkan daki degil dan sel mati. Selain berlulur, amalan mandi susu (berendam), juga disukai untuk mencerahkan kulit.
Jika mahu berseri, sesekali mereka mandi bunga dengan mencampurkan tujuh jenis bunga bersama sedikit perahan limau. Bagi wanita bersalin, mandian daun-daun kayu paling digemari untuk membuang angin di dalam badan, melancarkan peredaran darah serta mengharumkan badan.
Hampas kelapa digunakan untuk menyental daki. Selain itu, campuran kapur makan dan perahan limau nipis pula untuk menyental daki pada ketiak dan pelipat kaki.
Ada juga menggunakan beras pulut. Caranya mudah- goreng beras pulut tanpa minyak hingga kuning, kemudian tumbuk lumat. Ambil segenggam, titikkan air agar lembap,gosok pada bahagian bermasalah. Bagi mengelakkan kulit kering, mereka sapukan pula gel aloe vera (lidah buaya) ataupun minyak sayur-sayuran.
Bedak sejuk daripada beras juga sangat elok untuk menyejukkan muka, menghilangkan ruam serta menghaluskan kulit. Biasanya beras direndam berbulan-bulan hingga lembut, dititik di atas daun pisang dan dijemur berhari-hari. Setelah kering, disimpan di dalam mangkuk tanah dan dicampur hirisan daun pandan, bunga melati atau mawar agar berbau harum.
Bagi mengelakkan jerawat atau gatal-gatal, kunyit hidup yang ditumbuk lumat disapu pada seluruh wajah kerana ia mengandungi antiseptik semulajadi. Parutan buah jambu muda juga elok untuk menghilangkan jerawat. Bagi menegangkan kulit muka, putih telur segar (baru bertelur) disapu, manakala pupur parutan lobak dan timun untuk menyegarkan kulit.
Selain itu, pupur kacang hijau dan badam juga kerap digunakan untuk menjaga muka. Gel aloe vera boleh digunakan sebagai pelembap. Bagi menghilangkan parut yang masih baru pada muka, kulit pisang emas (bahagian dalam) disental pada kulit muka ataupun buih daripada kayu api (misalnya kayu getah) disapukan.
Tips mewangikan kereta :)

Thursday, December 9, 2010
Luna Maya melawat Ariel di penjara
Dato' Siti Nurhaliza - Belum terfikir untuk bersara
MELIHATKAN dirinya yang begitu aktif membabitkan diri dalam dunia perniagaan lewat ini, ramai yang mengandaikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kini perlahan-lahan mengundurkan diri daripada dunia seni. Sementelah, publisiti tentang dirinya juga semakin jarang kedengaran membuatkan ramai yang berpendapat penyanyi kesayangan ramai itu sudah mahu mengucapkan selamat tinggal. Lebih-lebih lagi selepas dia mengambil keputusan muktamad untuk tidak lagi bertanding dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bermula tahun depan. Mengajukan persoalan tersebut kepada empunya diri, dia hanya mampu ketawa kecil sambil mengatakan dia belum bersedia untuk berbuat demikian. “Hati saya masih dalam dunia nyanyian. Mana mungkin saya berhenti menyanyi dalam waktu terdekat ini. Cuma, pembabitan saya dalam bidang perniagaan adalah sebagai persediaan untuk masa masa depan seandainya saya tekad bersara daripada dunia seni. “Buat masa ini, saya masih lagi mampu mengimbangi dua dunia saya ini. Sudah 15 tahun saya dalam bidang ini dan dunia perniagaan merupakan satu fasa baru buat saya untuk terus maju ke depan,” ujar pemilik rangkaian produk kecantikan, SimplySiti itu tanpa selindung. Penyanyi bersuara emas itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Sity Avita di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sity Avita merupakan sebuah perniagaan jualan langsung dari Singapura yang menggunakan jenama Avita. Hanya di Malaysia, perkataan Avita ditambah Sity di hadapannya sebagai tanda penghormatan kepada penyanyi tersohor negara itu. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Lee Xiang Yin dan adik ipar Siti yang merupakan Pengarah Urusan Sity Avita, Zaini Mohamad Jiwa.
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR
Tuesday, December 7, 2010
Graduan 'ulat buku' tak ke mana
Oleh Ruhaiza Rusmin
PENERUS KESINAMBUNGAN...mahasiswa di menara gading bukan saja perlu mempunyai kecemerlangan akademik malah kualiti modal insan.
MENARUH HARAPAN...tanpa kemahiran dikehendaki majikan, graduan sukar menyerlah.
JIKA dulu menggenggam keputusan cemerlang dalam akademik bermakna masa depan cerah, kini semuanya berubah, malah bukan lagi jaminan mendapat pekerjaan.
Segulung ijazah bukan lagi ciri tarikan utama majikan dan pasaran kerjaya memilih graduan sebaliknya gabungan kemahiran insaniah lebih diutamakan industri.
Ini memberi 'amaran' kepada warga institusi pengajian tinggi (IPT) lebih bersedia mengimbangi tuntutan kecemerlangan akademik dan kepentingan kokurikulum.
Bagaimanapun, ada mahasiswa bersikap skeptikal dan menganggap jaminan kecemerlangan akademik masih menjadi tiket utama meraih pekerjaan.
Persoalannya, mengapa masih ada tidak mahu membuka minda dan menyalahkan semua pihak lain jika menganggur melainkan diri sendiri? Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tiba masanya mahasiswa menukar minda bahawa kecemerlangan akademik dan penganugerahan ijazah bukan asas kecemerlangan, sebaliknya perlu meningkatkan nilai kemahiran serta modal insan.
Beliau berkata, universiti atau mahasiswa perlu bersiap sedia menghadapi fenomena perubahan kebolehan pasaran yang semakin ditekankan majikan.
"Mahasiswa hari ini bukan saja memerlukan ilmu, tetapi kemahiran bagi memenuhi permintaan kebolehan pasaran yang sudah menjangkau tahap global.
"Justeru, tiba masanya universiti menjadi institusi bukan saja berpengaruh kepada masyarakat, malah mampu menukar minda warganya mengeluarkan graduan yang memenuhi permintaan negara.
"Gandingan universiti dan akademik perlu diseimbangkan dan bukan semata-mata melahirkan graduan ulat buku, tetapi tidak tahu hidup bermasyarakat atau kurang nilai di pasaran ekonomi," katanya.
Beliau berkata, sama ada institusi awam atau swasta perlu berganding dan bekerjasama bagi menjayakan matlamat pembangunan negara. "Gabungan ini merangkumi ilmu, kemahiran dan modal insan. Semuanya perlu dikuasai supaya mampu menjadi pelaburan pendidikan dan negara.
"Konteks pembelajaran hari ini juga bukan lagi statik sebaliknya merangkumi semua aspek seperti elektronik pembelajaran, pengajaran dan kemahiran modal insan," katanya.
Menjelang 2012, sektor pendidikan tinggi negara bakal memasuki fasa kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang menggariskan tujuh teras utama merangkumi empat fasa iaitu Peletakan Asas (2007-2010), Peningkatan dan Pemerkasaan (2011- 2015), Kecemerlangan (2016) dan Kegemilangan dan Kelestarian ( melangkaui 2020).
Pelan Tindakan ini memberi tumpuan pada pembangunan modal insan dalam usaha melahirkan rakyat kreatif dan inovatif, beretika dan bermoral tinggi, mudah diubah suai dan berfikiran kritis.
Tiga kelemahan nyata mahasiswa di institusi pengajian tinggi ialah kemahiran komunikasi yang lemah, sikap tidak pandai membawa diri di kalangan masyarakat serta pemikiran kurang kritikal.
Katanya, kelemahan ini perlu diatasi segera bagi memastikan graduan yang dikeluarkan mempunyai nilai idea baru, tidak terkongkong dan luhur dalam pencarian ilmu serta dapat membantu masyarakat dalam penjanaan negara pada masa depan.
"Mahasiswa adalah aset terpenting universiti dan negara selain menjadi penentu kejayaan. Kepentingan itu tidak semestinya sekadar memenuhi tuntutan kerjaya semata-mata namun turut menyumbang kekuatan modal insan atau bakat.
"Ia bertujuan melestarikan pembangunan negara pada masa depan yang tidak boleh hanya bergantung ada hasil bumi semata-mata, tapi kekuatan masyarakatnya.
"Kelemahan sedia ada perlu dicari penyelesaiannya supaya mereka menjadi generasi baru lebih mantap, berkualiti, berdaya saing serta jati diri kukuh," katanya.
Cantik bukan kerana botox (betul ke? kolagen kot... hehe :p )
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF
ROHANA Jalil mengakui tidak menyuntik wajahnya tetapi perubahan wajahnya kini adalah kerana teknik solekan.
ISU suntikan botox di kalangan artis tempatan sebenarnya bukan lagi satu berita baru. Kalau ditanya tentang perubahan mendadak pada wajah mereka, masing-masing mempunyai jawapan tersendiri.
Sama ada hendak mengaku atau terus berbohong kepada peminat dengan menafikan tindakan mereka itu, semuanya terpulang pada artis itu sendiri.
Hakikatnya, sekeping gambar tidak akan menipu sesiapa yang melihatnya kerana di situlah tersimpannya pelbagai cerita yang boleh ditafsir.
Masyarakat hari ini sudah semakin bijak menilai dan usahlah cuba hendak menipu mereka dengan pelbagai jawapan yang ada kalanya tidak masuk akal.
Artis popular, Ifa Raziah misalnya mengakui pernah bergelumang dengan dunia suntikan sehingga satu ketika dia sedar akan kemudaratan yang perlu dihadapinya lalu dia berhenti menggunakannya.
Keberanian Ifa memang wajar dipuji kerana dia sedar sampai bila harus berbohong kepada masyarakat. Sedangkan buktinya sudah jelas terpampang di akhbar dan majalah.
Kadangkala yang menjadi mangsa adalah pihak media yang sering dipersalahkan kerana dikatakan tidak mahu mendedahkan kisah artis yang sebenarnya mengamalkan suntikan pada wajah dan badan mereka.
Sebagai pengamal media, apa yang ditulis dan keluar di akhbar itu semuanya berdasarkan fakta serta kenyataan daripada hasil temu ramah yang berlangsung.
Kalau jawapannya ya, maka, itulah apa yang ditulis dan begitulah sebaliknya.
Hits juga tidak terkecuali apabila mendapat pelbagai reaksi daripada pembaca dan peminat yang sering kali bertanyakan tentang perubahan wajah artis yang pada mereka kelihatan cukup ketara sekali di dalam gambar.
Lebih menghairankan mereka, artis yang sudah berusia pun tidak mahu kalah dengan penampilan diri seolah-olah mahu bersaing dengan artis muda yang bergetah.
Tidak suntik wajah
SALAH seorang daripadanya adalah juara Bintang RTM 1980, Rohana Jalil yang juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa perdebatan peminat hiburan.
Mereka tertanya juga apakah benar Rohana juga sama seperti artis lain yang cukup gemarkan suntikan. Peminat merasakan wajahnya kelihatan jauh berbeza jika hendak dibandingkan pada 10 atau 15 tahun lalu.
Mungkin akan ada yang mencebik, apa hendak disibukkan dengan kes cucuk muka ini kerana bukan hanya artis tetapi sekarang ini orang biasa pun ada yang melakukannya.
Berkesempatan bertemu dengan penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Rayuanku di kediamannya yang terletak di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini, Hits mengambil peluang itu untuk merungkai segala persoalan yang bersarang di minda peminat selama ini.
Sejauh manakah kebenaran tentang isu perubahan wajah Rohana yang bukan hanya meniti di bibir peminat hiburan tetapi juga menjadi topik perbualan di laman sembang di alam maya.
Dalam sesi temu ramah itu, penulis juga membawa beberapa keping gambar lamanya yang dicetak daripada arkib gambar Utusan Malaysia untuk ditunjukkan kepada tuan punya badan.
Dengan tenang, Rohana memberikan justifikasi terhadap isu yang menjadi topik perbualan kami pada petang itu sambil membelek-belek gambar yang berada dalam genggamannya.
Diselak beberapa kali dan ditenungnya gambar-gambar ketika zaman kegemilangannya seraya berkata: “Saya tidak menyuntik wajah saya untuk menjadi cantik. Kalau dilihat pada wajah saya dalam gambar-gambar ini, semuanya adalah kerana teknik solekan.
“Dulu manalah saya pandai menyolek wajah sendiri ketika mahu membuat persembahan. Segala alat solek yang ada ketika itu, semuanya saya gunakan tanpa banyak bicara.
“Begitu juga dengan penampilan saya. Semuanya mengikut peredaran zaman. Tetapi, sekarang zaman sudah moden. Sudah ada jurusolek yang cukup bijak dan kreatif dalam menyolek wajah.
“Saya sendiri pun banyak belajar daripada mereka. Bukan hanya jurusolek tetapi juga pereka fesyen yang tidak lokek memberikan tips untuk menjaga penampilan diri.”
Punya peminat sendiri
MELIHAT kepada rejim kecantikannya, penulis sengaja mengusik isteri kepada seorang pegawai polis, Jangir Khan itu apakah dia mahu bersaing dengan artis-artis muda sekarang ini.
“Saya sudah melalui zaman populariti saya dan buat apa saya hendak bersaing dengan anak-anak muda. Saya mempunyai kumpulan peminat sendiri yang sehingga ke hari ini masih lagi kuat menyokong saya.
“Saya terus menyanyi pun kerana minat yang terlalu mendalam. Pernah saya mahu berhenti menyanyi dan duduk di rumah seperti suri rumah yang lain tetapi tidak boleh.
“Tangan ini masih lagi mahu menggenggam mikrofon dan membuat persembahan. Bukan tidak pernah suami saya suruh bersara tetapi saya akan melakukannya bila masanya sampai,” jelasnya sambil memberitahu anak ketiganya, Syakila Nisha, 18, kini mengikut jejak langkahnya sebagai seorang artis.
Sementara anak sulung dan keduanya, Rosella, 22, dan Shakirah Idora, 20, kata Rohana, lebih selesa dengan bidang yang tiada kaitan dengan dunia seni.
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF

