BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, July 21, 2010

Nutrisi Penting Untuk Kulit Sihat

Kulit yang sihat bukan hanya memerlukan rawatan luaran tetapi juga memerlukan pengambilan nutrisi daripada makanan. Ikuti beberapa nutrisi yang boleh anda amalkan bagi mendapatkan kulit yang sihat.

Air

Air menjaga akar kulit agar sentiasa lembap, mengurangkan garis halus dan kerutan pada kulit, membantu sel untuk menyerap nutrisi dengan lebih baik serta mengeluarkan racun. Air juga dapat membantu melancarkan pengaliran darah dan menjaga kulit agar sentiasa segar dan berseri.

Selenium

Selenium merupakan mineral yang membantu melindungi sel-sel kulit daripada radikal bebas. Mineral ini juga berfungsi mencegah kanser. Anda boleh mendapatkan selenium daripada makanan seperti kacang Brazil, udang, daging, ikan kod, tuna, salmon, kerang, sardin dan tidak kurang juga dari pasta gandum penuh.

Coenzyme Q10 (CoQ10)

Coenzyme Q10 atau CoQ10 adalah merupakan antioksidan kuat yang dihasilkan dalam tubuh secara semulajadi. Antioksidan ini melindungi kulit dan sel-sel tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas. Ia juga terlibat dalam penghasilan tenaga dan fungsi sistem kekebalan tubuh. Ia boleh didapati dari makanan seperti salmon, tuna, organ dalaman seperti hati serta bijirin penuh.

Antioksidan Untuk Sel Sihat

Antioksidan mencegah atau melambatkan kerosakan sel akibat radikal bebas. Kerosakan ini boleh menyebabkan tanda-tanda penuaan seperti kerutan pada kulit dan kulit menjadi kering. Antioksidan boleh didapati dari semua jenis makanan khususnya buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna seperti pelbagai jenis beri, tomato, aprikot, labu, bayam, ubi jalar, cili, kacang soya dan limau.

Vitamin A

Inginkan kulit yang cerah dan halus? Hanya tambahkan pengambilan makanan seperti limau atau lobak merah. Buah dan sayuran ini kaya dengan Vitamin A yang membantu memelihara kelembapan lapisan kulit bawah. Selain itu, Vitamin A juga boleh didapati daripada sayuran hijau, telur dan produk susu rendah lemak seperti keju dan susu.

Vitamin C

Vitamin C membantu melindungi kulit dari sinar matahari. Selain itu, ia juga dapat memperbaiki kerosakan kulit akibat radikal bebas. Radikal bebas pada umumnya merosakkan serat kulit seperti kolagen dan elastin. Vitamin ini juga boleh didapati dari makanan seperti paprika merah dan buah sitrus, betik, kiwi, dan sayuran hijau.

Vitamin E

Vitamin E merupakan antioksidan lain yang boleh mencegah kerosakan kulit akibat sinaran matahari. Vitamin ini juga berperanan sebagai anti-peradangan dan menguatkan sistem kekebalan tubuh. Ia boleh didapati dari minyak sayur, kacang, biji-bijian, buah zaitun, bayam, asparagus, serta sayuran hijau.

Asid Lemak Essensial

Asid lemak essensial seperti omega-3 dan omega-6 membantu menghasilkan lapisan minyak pelindung semula jadi kulit serta mencegah timbulnya jerawat. Ia boleh didapati dari minyak zaitun, minyak canola, biji rami serta jenis ikan seperti salmon, sardin dan marakel.

Minyak Sihat

Antara jenis minyak yang lebih kaya asid lemak essensial dibandingkan dengan minyak komersial yang lain adalah seperti minyak zaitun muda. Minyak ini membantu melembapkan kulit dan menjaga kulit agar kelihatan sihat dan berseri.

0 comments: