BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, December 28, 2009

Canda Tangis Ketawa Duka (CTKD)

Emosi dua diva
Oleh Farihad Shalla Mahmud


Bukan bersaing tapi saling melengkapi: Siti Nurhaliza, Krisdayanti kotakan janji bergabung dalam satu album

SEPERTI mana judulnya yang menggambarkan perasaan yang pelbagai warna, album berjudul CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka, yang bakal berada di pasaran mulai hari ini bagaikan satu karya besar buat penggemar dua penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza dan Krisdayanti atau KD.

Mana tidaknya, album yang dihasilkan atas nama jalinan persahabatan ini boleh diumpamakan seperti menyelak kembali helaian kisah suka duka dua penyanyi ini. Biarpun bukan semua lagu yang dimuatkan dalam album ini diangkat dari kisah benar dua penyanyi ini namun sewaktu menghayati setiap lirik yang dinyanyikan mereka sewaktu menghadiri sesi rakam album itu tidak berapa lama dulu, jelas membayangkan album itu bagaikan luahan emosi buat kedua-dua penyanyi itu.

Ramai yang sedia maklum betapa perjalanan seni mereka tidaklah semudah yang disangka. Tidak semuanya indah belaka. Berada di puncak kemasyhuran tidak semestinya kehidupan mereka sempurna segala-galanya. Mereka meniti dari bawah hinggalah kini berada di kemuncak. Malah, andai dilihat dari sudut kehidupan peribadi mereka, baik Siti mahupun KD, kedua-duanya ada kisah sensasi tersendiri.

Siti, di sebalik kebahagiaan yang dikecapinya namun masih juga terus diburu gosip nakal yang mempertikaikan atau memperkatakan keharmonian rumah tangga mereka. Manakala KD, seperti yang ramai sedia maklum, kini bergelar janda selepas mahligai yang dibina selama 13 tahun itu akhirnya berkecai di pertengahan jalan.

Itulah rencah kehidupan mereka. Populariti juga tidak menjamin segala-galanya dalam kehidupan yang mereka lalui. Namun, apa yang mereka hadapi itu bukanlah satu halangan untuk terus utuh dan ampuh dalam persada seni yang memang penuh pancaroba ini.


ALBUM CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka bagai jambatan hubungkan antara dua negara berjiran.

Mungkin tidak dinyatakan secara khusus, tetapi bait-bait perkataan yang disusun dalam lagu-lagu yang mereka muatkan dalam album ini sudah tentu menggambarkan keadaan perasaan peribadi masing-masing.

Bercerita kepada pembikinan album itu, Siti yang terbang ke Indonesia pada awal bulan lalu bagi menyempurnakan rakaman lagu terakhir ciptaan Charly dari kumpulan ST12, berkata proses itu bagaikan serampang dua mata buatnya.

Lagu Amarah hasil ciptaan Audi Mok dan seni katanya ditulis oleh Siti sendiri.

“Penggambaran klip video itu Siti buat di sebuah studio di Jakarta dan mengambil konsep warna merah, biru dan ungu. Ia dibuat selama sehari saja," ujar Siti kepada Hip.
SITI mahu peminat tak henti sokong kerjayanya.

Berkongsi pengalaman merakamkan lagu Tanpamu itu, Siti berkata dia terkejut kerana berlaku suatu insiden yang tidak disangka- sangka.

"Lagu itu memang menarik dari segi melodinya. Siti tidak menyangka ketika kami sedang asyik merakamkan lagu itu, tiba-tiba penerbitnya, Charly menitiskan air mata dan terus keluar dari studio.

“Siti pun tak tahu mengapa dia berbuat demikian. Entahkan tersentuh atau terkenang kisah lalu, tak pula Siti ketahui. Mungkin hanya dia sendiri yang tahu mengapa.

"Apapun, dia ada berkata kepada kami, dia begitu terharu apabila kami sudi memuatkan lagu ciptaannya dalam album duet kami itu," cerita Siti lagi.

Bagi album yang dijalankan secara usaha sama oleh SNP (M) Sdn Bhd dan KD Record itu, mereka mengambil masa empat hari untuk disiapkan. Begitulah andai dua penyanyi profesional bekerjasama.

"Alhamdulillah, Siti gembira kerana album itu berjaya juga disiapkan dalam masa yang singkat. Malumlah, sebelum ini sudah banyak kali juga album ini ditangguhkan disebabkan kesibukan dua belah pihak.

“Album ini bukanlah bertujuan untuk menonjolkan vokal siapa yang lebih hebat atau sebaliknya. Tetapi duet ini adalah sekadar melengkapi antara satu sama lain," katanya.

Sebagai melengkapi kehadiran album yang menjadi jambatan dua hala antara dua negara ini, Siti berkata mungkin sebuah konsert yang menggandingkan mereka berdua akan dihasilkan.

Dalam album ini terdapat 10 buah lagu, enam lagu penuh manakala empat lagi adalah minus one. Antara lagu yang dimuatkan adalah Jika Kau Tak Datang, Sebagai Teman, Tanpamu, Amarah, Hanya Dia dan Dalam Diamku. Lagu yang dipilih sebagai minus one adalah Tanpamu, Amarah, Hanya Dia dan Dalam Diamku.

Biarpun ramai yang mengatakan tempoh album ini dikeluarkan agak cepat sedangkan album Tahajjud Cinta baru saja dipasarkan, Siti yakin peminatnya tidak akan terkeliru.

"Album ini ada kelebihannya tersendiri dan Siti harap peminat Siti tidak lupa untuk mendapatkan album yang bakal keluar pada hari ini. Dan siti mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang tak henti-henti menyokong kerjaya siti,"ujar Siti menutup bicaranya.


1 comments:

Lazyf said...

CT lebih tinggi dr KD...huhuhu